Kaki menyusuri jalan-jalan raya di kota yang kaya dengan khazanah sejara
Islam Kaherah ini, tampak meriah dengan lampu yang bergemerlapan, berwarna warni menandakan Ramadhan tahun ini sudah menyapa. Sana sini kedengaran alunan Kalamullah mendayu-dayu dibawa bayu Nil.Kemeriahan Ramadhan di Ardhul Kinanah menyingkap rasa takjub dalam hati terhadap 1001 rahsia kemuliaan bulan Ramadhan sebagai belas kasihan DIA yang Maha Mencipta terhadap makhluk-NYA. Terdetik di sudut hati, “ Hai jiwa! Sudah bersediakah kamu untuk menempuhi ramadhan kali ini?”
Ramadhan ibarat tempat berteduh setelah perjalanan 11 bulan yang panjang, meniti liku-liku hidup yang penuh cabaran.Manusia memerlukan kerehatan yang cukup dan kekuatan yang baru. Tentu sahaja sumber kekuatan itu adalah Allah SWT, Raja segala raja, Tuhan seluruh alam.Kerana itu manusia memerlukan suatu perhentian bernama Ramadhan, tempoh untuk menumpukan pengabdian kepadaNYA tanpa sebarang gangguan, supaya dapat meneruskan perjalanan hidup seterusnya dengan tenang dan tegar.
Minda remaja terkenang ’leteran’ ustazah di sekolah dahulu.“ Bulan Ramadhan ini ada 3 fasa, 10 hari yang awal merupakan fasa pertama,10 hari pertengahan merupakan fasa kedua manakala 10 hari terakhir merupakan fasa ketiga”. Begitulah yang beliau terangkan.Lantas satu hadith dilafaz seakan mengetahui apa yang bermain di minda- minda muda yang kurang memahami. Sabda Junjungan Besar Rasulullah SAW, “Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka’’. Bergetar hati penuh rasa takjub dan keinsafan. Betapa Pemurahnya Tuhanku. Sabda Baginda SAW lagi dalam hadith yang lain “Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan“. Alangkah bertuahnya kita menjadi ummat Nabi Muhammad SAW. Sedangkan si anak bongsu berasa bangga apabila dimanjakan ibu dan bapa, inikan pula kita yang di’manja’kan Pemilik Alam.
Jiwa ini sayu memohon rahmat yang dijanjikan.Jiwa mana yang tidak mahukan rahmat? Jiwa mana tidak mahukan kebahagiaan? Walau mulut ’nakal’ menafikan , namun hati dan fitrah tetap mengharap. Yang fasik mahupun yang munafiq apatah lagi hatinya subur dengan iman, semuanya secara fitrah mengharapkan rahmat Allah Taala. Hanya dengan rahmatNYA, tubuh hina ini bebas dari bahang neraka. Hanya dengan rahmatNYA, tubuh ini dapat mengecapi nikmat syurga yang tidak tercapai dek akal manusia yang terbatas.Harus diingat hai jiwa, tidak hadir rahmat itu dengan amalan yang sia-sia apatah lagi maksiat.
Dalam mata nakal memerhati sekeliling, hati berkata “Alangkah bertuahnya kamu wahai jiwa, saat ini berada di bumi berkat ini“. Mata mengakui namun hati belum tentu mengiktiraf, alangkah indahnya biah masyarakat ini menghidupkan bulan Ramadhan. Mengapa tidak budaya ini yang kita ikuti dan ’bekalkan’
ketika pulang ke tanah air. Dalam kesesakan dan kepadatan manusia di dalam keretapi, dalam kesibukan manusia berurus niaga di pasar-pasar, kelihatan tangan-tangan memegang kitab suci panduan umat Islam. Kelihatan bibir-bibir kering menyebut kalimah-kalimah dari Al-Quran .Firman Allah Taala ,“Itulah kitab (Al-Quran) yang tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa“. (al-baqarah ;2).Yang tua mahupun yang muda, yang berdiri mahupun yang sedang duduk, semuanya berlumba-lumba untuk mendapatkan rahmat yang dijanjikan. Pemandangan yang amat menyenangkan mata dan hati.Bagaimana pula denganmu wahai jiwa?
Anak bulan ramadhan masih kelihatan di kaki langit.Ramadhan baru bermula. Jangan kamu mudah tersungkur hai jiwa. Tiba masa untukmu mengorak langkah, merencana usaha menagih rahmat tuhan. Bila lagi? Hendak tunggu sehingga fasa kedua tiba? Alangkah ruginya kamu wahai jiwa. Hendak tunggu sehingga fasa ketiga tiba? Alangkah malangnya kamu wahai jiwa.Hendak tunggu ramadhan akan datang? Alangkah bodohnya kamu wahai jiwa. Bukankah kamu beriman dengan ayat Allah “ Dan tiada seorangpun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati.“ (Luqman ; 34). Wahai jiwa, garablah segala peluang yang ada selagi di depan mata.
Tika kaki mengorak langkah, tidakkah kau sedari hai jiwa? Bukankan bayu yang kau hirup di bulan ramadhan ini ada semacam kelainan? Alangkah bertuahnya kamu hai jiwa masih mampu bernafas untuk mengecapi nikmat ramadhan tahun ini.Namun wahai jiwa, ini baru awalnya. Adakah kamu pasti kamu akan berkesempatan untuk bertemu penghujungnya?Hiasilah awalnya agar kekal cantik hingga akhirnya.
Realiti hari ini, saat ini, kita telah berada dalam ’fatrah’ fasa pertama Ramadhan. Walau dicubit pipi , walau ditepuk dahi, tidak akan terjaga dari mimpi kerana ini realiti. Ramadhan lepas telah sepi meninggalkan kita, tidak mungkin menjenguk kembali.Saat ini, Ramadhan juga namanya,tetapi hakikatnya berbeza dengan yang lepas.Saat ini, bukan kekesalan yang patut bertakhta dalam hati, tetapi harapan dan azam.Rahmat Allah yang telah dijanjikan telah terhidang dihadapan mata.YA! saat ini. Nah! Apa lagi yang kita tunggu. “Pulun yop!pulun!“
No comments:
Post a Comment